. Kaki Haikal berlari laju, selaju jantungnya yang berdegup kencang.
Dengan sebuah iPhone digenggam dalam tangan kanan, Haikal hanya memerlukan lebih kurang 100m sahaja lagi untuk sampai ke destinasi yang ditujunya.
Tidak memakai jaket, lelaki yang hanya berkemeja lengan panjang itu sedikit menggigil kesejukan.
Suhu 10°C pada malam di bandar Columbus, Ohio itu sudah cukup sejuk dirasa sampai ke tulang.
Mujurlah lariannya yang pantas itu dapat sedikit sebanyak menghangatkan tubuhnya pada ketika itu.
Tempat yang dituju ialah sebuah kelab malam terkemuka di tengah bandar Columbus itu.
Haikal sudah mula terasa gusar apabila dia nampak lokasi Humaira di kelab itu sejak dua jam yang lalu.
Tetapi Haikal tidak dapat hendak terus ke sana kerana dia sendiri sedang menghadiri kuliah malam.
Sejurus sahaja Professor-nya menggulung syarahan pada malam itu, Haikal terus berlari keluar seperti lipas kudung dari dewan sekaligus meninggalkan kampus menuju ke arah bandar.
Tidak perlu menaiki teksi ataupun bas awam, Haikal lebih cepat berlari kerana kelab malam itu hanya beberapa kilometer sahaja jaraknya dari kampus.
Penat dan lelah akibat berlari lebih setengah jam lamanya, Haikal sempat mengambil nafas sambil menongkat kedua tangan pada lutut.
Wap panas dari paru-parunya berkepul-kepul keluar dari mulut dan hidung.
Sempat menekap tangan kanan pada dada kiri untuk meredakan sedikit denyutan jantung kuat yang tidak berhenti.
Air liur ditelan sekali sebelum kaki melangkah masuk ke dalam kelab malam terkemuka itu.
Bingit suasana di dalamnya.
DJ yang bertugas ralik memutarkan lagu-lagu rancak.
Cahaya lampu disco memukau mata memperlihatkan susuk-susuk tubuh lelaki dan perempuan sedang terloncat-loncat berjoget dengan penuh tenaga.
Tidak susah untuk mencari di mana Humaira berada.
Malam ini adalah malam istimewa buatnya.
Gadis jelita itu sedang rancak berjoget riang di tengah-tengah lantai tarian sambil dikerumuni lautan manusia.
ʻʻAll right boys and girls! Gather around! Itʼs center time for the queen of the night!!ʼʼ laung DJ menerusi peti suara yang besar.
Seluruh hadirin bersorak gembira.
ʻʻOne! Two! Threeʼʼ kata DJ itu lagi.
Empat biji spot-light disuluh tepat pada Humaira yang berada di tengah-tengah lantai tarian.
ʻʻHappy birthday to you! Happy birthday to you! Happy birthday, dear Myra! Happy birthday to you!ʼʼ Semua yang berada di dalam kelab malam itu sama-sama menyanyikan lagu harijadi kepada Humaira diikuti dengan letupan beberapa mercun konfeti, tepuk tangan, laungan sorakan, dan beberapa botol minuman keras yang digoncang dan kemudian direnjis-renjis pada gadis yang baru mencecah umur 21 tahun pada hari itu.
Haikal hanya mencekak pinggang sambil menggeleng kepala melihat Humaira mendongakkan kepala sambil membuka mulutnya seperti seekor anak burung meminta suapan.
Air berbuih dari botol minuman keras dituangkan ke dalam mulutnya.
Ada yang masuk ke dalam mulut, ada yang membasahi muka, ada yang kena pada kepala dan rambut, selebihnya lencun membasahi tubuh yang hanya diselaputi dengan sehelai baju yang seksi.
Selepas dimandikan dengan minuman keras, mereka semua bersorak gembira, Ada yang peluk, ada yang cium, ada yang gomol, ada yang angkat Humaira dan mendukung gadis itu tinggi.
Melihat keadaan menjadi semakin rakus, Haikal terus mengangkat kedua-dua tangannya dan menyelit di antara lautan manusia untuk mendapatkan Humaira.
ʻʻAll right, guys! All right, guys! Showʼs over! Showʼs over! Letʼs keep it clean, alright?ʼʼ kata Haikal sambil menepis-nepis orang yang mengerumuni Humaira untuk menghampiri wanita itu.
ʻʻNoooo!!ʼʼ kata mereka dalam nada yang berjenaka, ʻʻLook whoʼs here! Itʼs Batman to take our girl away!!ʼʼ mereka semua kemudian gelak ketawa.
Rakan-rakan Humaira sudah kenal siapa Haikal.
Mereka menggelarkannya dengan panggilan ejekan ʻBatmanʼ sebab Haikal selalu sahaja menyelamatkan Humaira ketika gadis itu sedang bersuka-ria.
Sumber:Internet