. SAFINA mencekak kolar baju Ahmad Farid apabila hanya tinggal mereka berdua di belakang rumah orang-orang tua itu.
Selesai saja aktiviti memasak, Safina membantu yang lain membersihkan kawasan belakang rumah.
Kebetulan Ahmad Farid mengekorinya.
Maka, memang sedaplah habuan dia.
"Wooo... kau pehal?" Ahmad Farid kaget apabila Safina nyaris menumbuk wajahnya.
Mujur saja tumbukan itu terhenti.
Kalau tak sia-sia je mukanya yang kacak itu lebam.
"Kau cakap dengan perempuan gedik tu, jangan buat onar dekat tempat aku cari rezeki.
Kalau sekali lagi dia datang buat hal, dia dengan kau sekali aku belasah cukup-cukup.
" Keras sekali amaran yang diberikan.
Ahmad Farid terus terpinga.
"Eh... jap... perempuan gedik mana pula ni?" Masih belum dapat menangkap siapa yang dimaksudkan.
"Yang kau bawa hari tulah!" Tubuh Ahmad Farid ditolak kasar.
Ahmad Farid sempat mengimbangi badannya dari jatuh terlentang kebelakang.
"Woi... nasib baik tak tergolek.
Kalau tak jatuh saham aku tau.
" Ahmad Farid memperkemaskan semula kolar bajunya.
"Aku tak tahu pun dia datang situ.
Kau nak marah aku kenapa?" Berkerut dahinya menyoal.
"Memang kau tak tahu.
Dia dah malukan Wawa depan semua orang.
Dia dah lukakan hati Wawa.
Kau fikir aku boleh diam?" Safina masih dengan amarahnya.
Ahmad Farid menelan air liur yang terasa kesat melihat Safina yang bagaikan orang hilang kewarasan.
"Aku akan heret dia minta maaf pada Wawa nanti.
Sumpah aku tak tahu sampai dia nak ke sana buat hal.
" Ahmad Farid mengukir janji.
Dalam hati sudah menyumpah seranah Shaza.
Baru nak berbaik dengan Safina, Shaza pula datang menyibuk.
Betul-betul buat dia makin menyampah.
Safina merengus kasar sebelum menyambung kerjanya semula.
Mujur saja Wawa menghubunginya segera.
Jika tidak, sudah pasti dia memecut laju pulang ke Kuala Lumpur.
Melukai hati Wawa samalah seperti melukai hatinya dan kerana itu, dia tidak akan mengizinkan sesiapa pun melukai hati Wawa.
Usai memunaikan solat Maghrib bersama, mereka sama-sama menjamu selera bersama warga emas di situ.
Sebak rasa hati masing-masing melihat wajah ceria warga emas di situ.
Tergamaknya seorang anak menghantar orang tuanya ke situ.
Benarlah, seorang ibu mampu menjaga sepuluh orang anak.
Namun seorang anak, belum tentu mampu menjaga seorang ibu.
Kisah seorang warga emas di situ benar-benar meruntunkan hati mereka.
Mak Nah, menceritakan bagaimana anaknya berjanji untuk menghantarnya pulang ke kampung selepas dia menukar nama tanah kepada nama anaknya sebelum dia dicampak di rumah orang-orang tua itu.
Tidak cukup dengan itu, anaknya juga menghamburkan kata-kata hinaan terhadapnya.
"Mak Nah tak redha dengan apa yang dia dah lakukan pada Mak Nah.
Mak Nah tatang dia bagai minyak yang penuh.
Hantar belajar tinggi-tinggi tapi akhirnya Mak Nah dibuang di sini.
" Sebak hati tua itu menutur kata.
Suzan bangkit lalu memeluk Mak Nah.
Cuba menenangkan Mak Nah yang semakin sebak.
Mereka semua dihambat rasa sayu yang mencengkam hati mendengar luahan Mak Nah.
Usai segala urusan di sana, mereka beredar.
Dalam hati masing-masing sarat dengan seribu satu rasa.
Moga mereka sentiasa menjadi anak yang mengenang budi.
Yang menghargai orang tua masing-masing.
"Fina..." Ahmad Farid menghampiri Safina yang sedang termenung di halaman rumah penginapan mereka.
Safina hanya mampu mengeluh.
Dia memerhatikan yang lain sedang leka bersembang sesama sendiri.
Hanya dia yang duduk bersendirian di situ mengenangkan Wawa yang berada di Kuala Lumpur.
Sakit hatinya dengan apa yang berlaku pada Wawa masih belum hilang.
Memandang wajah Ahmad Farid membuatkan dia bertambah sakit hati.
Entah apa lagi mahunya lelaki itu.
"Aku minta maaf pasal Wawa.
Aku tak sangka akan jadi macam ni sekali.
Aku janji dengan kau, aku akan pastikan Syaza datang minta maaf dekat Wawa.
" Safina merengus kasar.
"Kau fikir dengan kata maaf dia boleh pulihkan luka kat hati Wawa?" sindir Safina.
Ahmad Farid merenung lama wajah Safina.
Jelas riak tidak puas hati terpancar.
"Fi, kau nak aku buat macam mana Fi? Aku sendiri tak tahu yang dia akan ke sana.
Setahu aku, dia bukan duduk KL.
Jadi aku sendiri tak sangka akan jadi macam ni.
Tolonglah Fi.
Aku baru je nak berkawan dengan kau.
Takkan sebab benda ni kau tak nak berkawan dengan aku.
" Jelas kedengaran kekecewaan pada nada suara Ahmad Farid.
"Asal kau tahu, Wawa sahabat yang dah aku anggap macam keluarga sendiri.
Sakit dia, sakitlah aku.
Apatah lagi bila dia disakiti sebab aku.
Sebab aku melayan lakonan kau hari tu, Wawa yang terpaksa hadap semua tu.
Adil ke pada dia?" Safina tidka mahu mengalah.
"Sana tempat aku cari makan.
Bukan tempat aku nak cari gaduh.
Kalau kau ada masalah dengan perempuan tu, jangan libatkan aku.
Jangan datang serang tempat aku cari makan.
Itu punca rezeki aku.
Tak pernah lagi kejadian macam ni jadi.
" Safina menjelaskan agar Ahmad Farid faham.
Bukan dia sengaja untuk marah.
Dia bukan saja mementingkan Wawa, malah dia juga amat menjaga tempat dia mencari rezeki.
"Aku minta maaf.
Aku janji aku akan betulkan segalanya.
" Safina hanya tersenyum nipis mendengar janji Ahmad Farid.
Dia yakin Ahmad Farid pasti akan berpegang pada janjinya.
Entahlah dia sendiri tidak pasti kenapa dia seyakin itu untuk mempercayai Ahmad Farid.
Sumber:Internet