. SAFINA memerhati sekelilingnya.
Lama dia tidak menjejakkan kaki di lorong itu.
Rindunya kepada adik beradik itu tidak mampu dibendung lagi.
Akibat kekangan masa, dia tidak dapat mengunjungi mereka.
Telah hampir dua jam dia di situ, bayangan mereka tidak juga kelihatan.
Hatinya mula galau.
Dia hanya mampu memanjatkan doa agar mereka semua baik-baik saja.
Akhirnya dia pulang dengan rasa hampa.
Hampa kerana tidak dapat bertemu dengan mereka yang dirinduinya.
Sampai saja di rumah, Safina terus merebahkan badannya.
Dia tidak ke galeri mahupun restorannya pada hari itu.
Dia telah menyerahkan tugas kepada pekerjanya memandangkan dia akan bercuti beberapa hari.
Segala urusan di galeri diserahkan sepenuhnya kepada Boy.
Dia ingin lihat sejauh mana kemampuan Boy sebelum memberi tanggungjawab yang lebih besar kepada Boy.
Dia percaya dan yakin, Boy mampu melakukannya.
Dia juga bercadang ingin menambah seorang lagi pekerja di galerinya bagi membantu Boy.
Sejak akhir-akhirnya, galerinya sering menjadi perhatian penggemar motorsikal berkuasa besar.
Kadangkala mereka tidak menang tangan melayan pelanggan yang datang berkunjung apatah lagi ketika hujung minggu.
Rata-rata pelanggan memuji kecekapan dan juga layanan yang diberikan oleh Boy.
Akibat bosan keseorangan di rumah, Safina memutuskan untuk ke Tanjung Bidara.
Sejak dulu lagi Safina suka menikmati ketenangan di Tanjung Bidara.
Dia segera melangkah ke biliknya.
Dua pasang baju dan beberapa keperluan peribadinya disumbat masuk ke dalam beg galas.
setelah bersiap ala kadar, Safina menyarung jaket keselamatan lalu melangkah turun ke bawah.
But disarung ke kaki lantas dia melangkah keluar.
Tersenyum dia melihat Honda CBR 250 yang sentiasa menjadi teman setianya.
Memandangkan Wawa kini berada di kampung atas beberapa urusan, terpaksalah Safina bergerak sendirian.
Safina menolak motornya sehingga ke luar pagar.
Setelah memastikan pagar rumah berkunci, enjin motor dihidupkan.
Setelah memanaskan enjin motor, dia terus memecut laju menuju ke lebuhraya utara selatan.
Sepanjang perjalanan, Safina kelihatan tenang mengemudi motorsikal berkuasa besar itu.
Dia memecut laju membelah lebuh raya.
Mujur saja tidak banyak kenderaan ketika itu jadi, dia tenang meneruskan perjalanannya.
Safina berhenti di kawasan R&R Seremban untuk membasahkan tekaknya seketika.
Ada satu kedai di R&R itu yang sering menjadi kunjungannya hanya kerana ingin menikmati ikan keli masak lemak cili api.
Kebetulan dia belum lagi menjamah walau sebutir nasi, jadi dia berhajat untuk menikmati makan tengah harinya di situ.
Ketika sedang enak menikmati hidangannya, dia disapa seseorang.
Hampir tercekik dia melihat gerangan yang menyapa.
Segera disebut sirap limau yang berada di depannya.
Melihat ketawa figura itu membuatkan dia turut tersenyum nipis.
"Boleh duduk tak?" Safina sekadar mengangguk sebagai jawapan.
Dia kembali menyuap nasi ke mulutnya.
"Sorang je ke?" Safina jungkit kening mendengar soalan itu.
Dia memerhati sekeliling R&R.
Ada beberapa pengunjung yang sedang menjamu selera.
"Tak nampak ramai dekat sini?" Safina membalikkan soalan tanpa menjawab soalan yang diajukan.
Sengaja dia menyoal begitu.
Figura itu menggaru hujung kening kanan yang tidak gatal.
"Amboi, main kasar nampak.
" Safina tersengih.
Dia meletakkan sudu dan garfu di atas pinggan sebelum menyedut perlahan minumannya.
"Ya, aku sorang je.
Wawa balik kampung.
Macam mana kau boleh sesat dekat sini?" Safina mengukir senyum manis.
Terpaku seketika figura itu menatap senyuman manis Safina.
"Aku nak ke Melaka.
Ada meeting dengan client.
" Safina sekadar mengangguk mendengar jawapan yang diberi.
"Tak makan ke?" soal Safina sebelum kembali menjamah hidangan di depan mata.
"Aku makan dah dengan assistant aku tadi.
Kebetulan aku nak ke tandas, aku nampak kau.
Tu yang aku singgah sini.
" Ahmad Farid mengukir senyum.
Safina menolak ke tepi pinggannya sebelum dia mengelap mulutnya menggunakan tisu.
Mujur sajalah dia bukan wanita yang sibuk dengan alat solek.
Jika tidak, pasti dia perlu mengelap mulutnya dengan penuh tertib.
"Ni kau nak ke mana?" Safina tersengih mendengar soalan Ahmad Farid.
"Aku pun nak ke Melaka.
" Safina ketawa kecil melihat reaksi terkedu yang ditunjukkan oleh Ahmad Farid.
"Macam berjodoh pula, kan.
" Safina mencebik mendengar seloroh Ahmad Farid.
Semenjak akhir-akhirnya hubungan mereka agak baik.
Adakalanya Ahmad Farid akan menghubunginya untuk bertanya khabar.
"Aku gerak dulu.
Kau tu hati-hati bawa motor.
" Sempat lagi Ahmad Farid menitip pesan sebelum berlalu meninggalkan Safina.
Safina tersenyum nipis melihat Ahmad Farid yang melangkah pergi.
Selesai berehat beberapa minit, Safina memecut laju meneruskan perjalanan ke destinasi yang ingin di tuju.
Tepat jam empat petang, dia tiba di Tanjung Bidara.
Setelah check-in di Tanjung Bidara Resort, Safina segera merebahkan dirinya di atas katil.
Terasa lega dapat meluruskan pinggangnya seketika.
Angin laut yang masuk melalui tingkap sungguh mendamaikan sehingga tidak sedar akhirnya Safina terlena.
Lenanya terganggu saat telefon bimbitnya menjerit minta dijawab.
Terpisat-pisat Safina bangun.
Melihat nama yang tertera, dia kembali memenjam matanya tanpa menjawab panggilan itu.
Deringan telefon yang bertalu-talu terus mengganggu lena Safina.
Akhirnya dia mengalah lalu menjawab panggilan itu.
"Jom minum dengan aku.
" Tanpa salam, dia terus disapa dengan ajakan.
Berkerut dahi Safina.
"Malaslah.
Eh... kau kat mana nak ajak aku minum ni?" soal Safina apabila tersedar akan ajakan itu.
"Depan motor kau.
Cepatlah.
Aku tunggu sini.
Lambat, aku pancitkan tayar motor kau.
" Terus saja talian dimatikan.
Safina akur.
Dia bangun lalu menuju ke bilik air untuk membersihkan diri.
Tak dipeduli jika orang yang mengajaknya minum petang itu menunggu lama.
Setelah membersihkan diri ala kadar, Safina segera bersiap menuju ke arah motorsikalnya.
"Hai," sapa Ahmad Farid seraya melebarkan senyuman.
"Kau buat apa kat sini? Kau stalker aku ke?" Ahmad Farid ketawa mendengar soalan Safina.
"Eh... tak kuasa aku nak stalker kau.
Kebetulan aku lalu nampak motor kau.
" Safina kerut dahi.
Banyak sangat kebetulannya mereka hari ni.
Rasa macam tak logik pula.
Ke mamat ni memang psiko?"Dalam kepala otak kau tu jangan nak merapu meraban fikir benda bukan-bukan ya.
Aku jumpa client aku dekat sini tadi.
Kebetulan aku stay sampai esok.
Seronok juga ada kawan ni.
" Ahmad Farid menyeluk tangan kanannya ke dalam saku lantas memerhatikan Safina yang masih curiga dengan kata-katanya.
"Mana assistant kau?" soal Safina seraya memerhatikan sekeliling.
Ahmad Farid sekadar tersenyum nipis.
"Jomlah minum dekat cafe.
Aku malas nak kacau assistant aku tu.
Tunang dia orang sini, dia pergi jumpa tunang dialah.
Lainlah macam aku ni, single pun tak ada siapa nak layan.
" Wajah sedih ditayang sedikit mencuit hati Safina.
Entah mengapa sejak akhir-akhir ini keletah dan gelegat Ahmad Farid sering kali mencuit tangkai hatinya.
"Okeylah.
Jom.
Kang ada yang mati kebulur pula.
" Ahmad Farid tersengih mendengar ucapan Safina lantas menarik tangan Safina untuk sama-sama berjalan dengannya.
Sumber:Internet