. HIDUP berpasangan adalah fitrah semula jadi alam dan setiap sesuatu itu ada pasangannya, umpama siang malam, pasang surut dan sebagainya lagi.
Begitulah juga halnya dengan manusia.
Perkahwinan adalah institusi yang menemukan pasangan dan rakan kongsi hidup yang sehati dan sejiwa untuk sama-sama mengharungi segala suka dan duka erti kehidupan.
Huh! Hana mencebik lalu artikel yang disiarkan di portal atas talian itu ditutup dengan sebal hati.
"Rakan kongsi susah senang konon.
Phuiii!", gumam Hana sendirian.
Tidak sangka pencariannya di Google menemukan dia dengan artikel itu.
Baca perenggan pertamanya saja sudah cukup menyakitkan hatinya.
"Rakan kongsi katil, nafsu bolehlah.
Bab lain semua tak boleh pakai.
Bila nak baru cari aku.
Bila taknak, aku ni macam tak wujud!", gumamnya lagi.
Tangannya cepat mengemas meja kerjanya.
Jam sudah menginjak ke pukul enam petang.
Malas untuk balik lambat hari ini.
Kepala yang serabut dengan hal kerja perlu ditenangkan.
"Na! Jom lepak minum.
Laki kau balik lambat kan?", sapa si cantik manis, Aqilah yang sudah siap dengan tas tangan dibahu kirinya.
Tersengih menongkat dagu di partition meja kerja Hana.
Hana lepas keluhan perlahan.
Mendengarkan perkataan 'laki' itu saja sudah cukup buat kepalanya semakin serabut.
"Kalau dia balik awal pun tak ada bezanya.
Jomlah.
Aku pun serabut ni", balas Hana selamba lalu bag sandang yang berisi komputer ribanya digalas.
Tas tangan Carlo Rino pemberian si suami disangkut pada lengan.
Beriringan bersama Aqilah menuju ke pintu keluar pejabat.
Aqilah sudah boleh menduga dengan keadaan Hana.
Sudah tentu ada masalah di rumah.
Seharian ini dia perhatikan rakan sekerja merangkap kawan baiknya ini murung.
Ketika makan tengah hari juga Hana kurang bercakap seperti selalu.
Jika tidak, ada saja perkara yang dibualkan.
"Kalau kau ada apa-apa nak cerita, aku sedia dengar", ujar Aqilah saat kereta yang dipandunya keluar dari ruangan tempat letak kereta.
Hana hanya diam.
Telefon bimbitnya digenggam erat.
Skrin telefon yang menyala direnung.
Aqilah cuba mencuri tengok namun hampa.
Dia masih menanti Hana bersuara.
Sepi.
Keadaan ketika itu hanya ditemani celoteh DJ radio yang tak habis-habis bercakap, satu lagu pun belum diputarkan.
Banyak sangat iklan.
Aqilah hanya menumpukan perhatian pada pemanduannya setelah beberapa ketika menanti Hana untuk bersuara.
Dia tahu Hana pasti perlukan ruang.
Dia juga tahu Hana pasti ada masalah.
Sejak kebelakangan ini, selalu saja Aqilah lihat Hana memuat naik status di IG storynya.
Sedih, kecewa, terkilan.
Itu antara kata-kata yang dimuatnaik.
Hana masih lagi membatu.
Sudah lama dia pendam rasa itu.
Tidak tahu pada siapa mahu dia luahkan.
Pada Aqilah? Gadis ini lebih muda darinya, malah belum berumahtangga.
Tapi jika diikutkan pemikirannya, nampak matang.
Hana hela nafas panjang lalu dihembus perlahan.
"Bagi kau, apa erti sebuah perkahwinan?".
Hana tiba-tiba mengajukan soalan itu pada Aqilah, seorang gadis pertengahan 20an yang masih belum berkahwin.
Aqilah terdiam.
Susah juga soalan Hana ni untuk dia.
"It's okay, just forget it", sambung Hana.
Dia sudah sedia untuk keluar dari kereta setelah kereta yang dipandu Aqilah berhenti depan sebuah kedai makan kegemaran mereka berdua.
Port Hana dan Aqilah melepak selepas waktu kerja.
Tidak jauh juga dari rumah mereka berdua.
Aqilah pegang lengan Hana saat wanita itu ingin membuka pintu kereta untuk keluar.
Hana berpaling mengadap Aqilah dengan dahi berkerut.
"Aku tak tahu sangat makna perkahwinan tu.
Tapi aku tahu perkahwinan ni satu perkongsian antara suami dan isteri.
Susah senang, semua hal berkaitan rumahtangga semua kena kongsi bersama.
Kita kongsi hidup dengan dia, bermakna segala suka duka kita kongsi dengan dia", jawab Aqilah penuh hemah.
Itu yang terlintas di benak fikirannya.
Sumber:Internet