. Rina runsing memikirkan sikap Hafiz sejak kebelakangan ini.
Naluri wanitanya kuat mengatakan ada sesuatu yang mengganggu fikiran Hafiz.
Dia seorang isteri, sudah tentu dia dapat rasa walau sedikit perubahan suaminya itu.
Namun, dia tidak berani untuk bertanyakan hal itu kepada Hafiz.
Jika bukan cacian yang dia terima nanti, sudah tentu Hafiz hanya akan membiarkan persoalannya tanpa jawapan.
"Huh! Susah betul nak faham jantan ni.
Kenapa susah sangat dia nak berubah eh?", rungut Rina.
Badan dipalingkan mengiring ke kiri.
Pembaringan di sebelahnya kosong.
Tiada penghuninya.
Sudah seminggu dia lena sendirian.
Tiada teman.
Bantal baring di sebelahnya dicapai lalu diusap perlahan.
Sungguh, dia rindukan Hafiz.
Rindu belaian lelaki bernama suami itu.
Ikatan perkahwinan yang dibina bersama lelaki itu selama hampir enam tahun ini seolah sudah tiada serinya lagi.
Rina tahu, Hafiz bertahan selama ini hanya kerana Iskandar, anak lelaki mereka.
Rina sedar, cinta dan sayang Hafiz padanya semakin memudar sejak rahsia itu terbongkar.
Rahsia besar dirinya yang selama ini cuba dia sembunyikan.
"Tak guna punya jantan! Sebab kau lah Hafiz marahkan aku!".
Jerit Rina tiba-tiba.
Jemarinya digenggam kuat membentuk buku lima.
Rahangnya diketap kuat menahan amarah.
Bantal yang tadinya diusap kini menjadi tempat untuk dia melepaskan geram.
Bertalu-talu tumbukan pada bantal yang tidak bersalah itu.
"Tapi.. salah aku jugak.
Terlalu cepat hanyut dengan godaan dia", lemah suara Rina menuturkannya.
Dia kesal dengan apa yang pernah terjadi.
Sehingga kini dia tahu Hafiz tidak pernah memaafkannya.
"I maafkan you, tapi I tak boleh lupa dengan apa yang you dah buat" Masih melekat di dalam kotak memorinya setiap patah kata yang dituturkan Hafiz.
Bukan ketika amarahnya, tetapi di saat lelaki itu berada dalam keadaan tenang.
Maka, waras pemikirannya ketika itu.
Rina cuba untuk kembalikan rasa itu dalam perhubungan mereka namun hampa.
Hafiz tetap melayannya dingin.
Ketika Hafiz didapati curang, Rina menjadi terlalu marah.
Perbalahan yang berlaku tiada gunanya.
Dia tetap akan kalah kerana Hafiz sering kali mengungkit kisah lampaunya.
"Kenapa aku masih nak dapatkan cinta Hafiz? Sedangkan aku tahu dia tak boleh sayangkan aku macam dulu", bisik hati Rina.
Tiga tahun dia mencuba namun hampa.
Di hadapan semua orang termasuk ahli keluarganya, Hafiz menampakkan seolah mereka keluarga yang paling bahagia.
Namun apabila di rumah, Rina seperti tidak wujud.
Di dalam rumah ini seolah-olah hanya Hafiz dan Iskandar yang wujud.
"Tapi aku patut bersyukur.
Sekurang-kurangnya dia sayangkan Is", sambung Rina lagi.
Itu satu perkara yang sangat melegakan hatinya.
Hafiz tidak menarik Iskandar sekali di dalam masalah mereka berdua.
Rina lega walaupun selepas apa yang telah dia lakukan, Hafiz masih boleh menerima dan melayan Iskandar dengan baik.
"Ahhh! Lantak lah dia nak buat apa sekarang.
Asalkan dia tak buang aku dengan Is, itu dah cukup baik", omel Rina lagi.
Pembaringan dibetulkan.
Lampu tidur di kabinet sisi katil dimalapkan.
Rina tekad, dia tidak akan berganjak dari perkahwinan ini dan dia akan bertahan selagi mampu.
Demi Iskandar, anaknya.
***** "Aku tak bahagia" Aqilah terkedu lantas matanya memandang tepat ke arah Hana.
Lain benar kelakuan wanita yang telah menjadi kawan baiknya ini.
Jelas terpancar kesayuan di mata cantik milik Hana.
Sudu yang sedari tadi di tangan diletakkan perlahan di atas pinggan.
Matanya melirik ke pinggan yang terisi mee goreng di depan Hana.
Sedikit pun tidak terusik.
Bercelaru benar nampaknya pemikiran wanita ini.
"Mind to share?", tanya Aqilah perlahan dan lembut.
Mujur restoran yang mereka pilih untuk makan malam ini tidak ramai orang.
Begitulah selalunya Aqilah dan Hana apabila pulang lewat selepas waktu kerja.
Mereka pasti akan singgah di mana-mana kedai makan atau restoran sebelum pulang ke rumah masing-masing.
Mujur juga mereka tinggal berdekatan, senang untuk pulang bersama-sama jika sudah lewat malam.
Hana hela nafas dalam.
Pinggan di depannya di tolak perlahan ke tepi.
Dia tunduk merenung meja.
Aqilah pula masih menanti kawannya ini menyuarakan sesuatu.
Mungkin sukar untuk dia luahkan.
Aqilah faham itu.
"Aku rasa dia ada orang lain", kata Hana membuka bicara.
Aqilah hanya diam.
Menanti butir kata seterusnya.
"Dia dah berubah, Qila", sambung Hana.
Perlahan, namun cukup untuk Aqilah dengar setiap butir kata itu.
Air liur ditelan perlahan.
Gugup juga apabila mendengar pendahuluan cerita Hana ini.
Dia bukanlah arif bab lelaki hatta rumahtangga sekalipun.
Dia sendiri masih tidak punya teman lelaki.
Aqilah masih tidak mengerti permainan pasangan bercinta atau yang sudah berumahtangga.
Akan tetapi, jika bukan dia, siapa lagi yang mahu mendengar masalah kawannya ini? "What makes you say so? Pernah kantoi ke?".
Penuh berhemah Aqilah menuturkan soalan-soalan itu agar tidak mengguris hati Hana.
Hana menggeleng.
"Bukanlah terang-terang kantoi.
Tapi hari tu aku ada nampak mesej seorang perempuan.
Ayat dia agak manja bagi aku.
Aku cuba lah nak fikir yang tu staff dia tapi tak boleh.
Lain macam sangat", jawab Hana panjang lebar.
Mesej itu, masih segar diingatan Hana.
Melalui paparan di skrin telefon Najmi, dia tahu itu bukan mesej biasa.
"I'm a wife.
Instinct wife ni kuat tau.
Dia berubah sikit pun aku boleh tahu", sambung Hana lagi.
Bukan sedikit perubahan Najmi.
Sudah makin ketara.
Jika dulu setiap hari tidak jemu suaminya itu menitipkan kata-kata sayang, namun kini tiada lagi.
Bukan kata sayang, bertanya khabar atau bertanyakan keadaan terkini pun sudah tiada.
"Hurmm.. I'm speechless.
Aku nak komen pun tak reti", balas Aqilah perlahan.
Hilang juga seleranya untuk menghabiskan makanan yang terhidang di depannya.
Kenyang juga dia rasakan.
Jeda.
Sunyi menemani mereka seketika.
Baik Hana mahupun Aqilah, keduanya hilang kata.
Hana tahu, Aqilah bukanlah orang yang sesuai untuk dia luahkan semua ini.
Namun, dia tiada tempat lain lagi untuk mengadu.
Sepanjang masanya di pejabat dihabiskan dengan kerja.
Usai waktu kerja, dihabiskan pula bersama gadis ini untuk seketika sebelum pulang ke rumah.
Di rumah, Hana keseorangan.
Najmi sudah lama tidak pulang awal ke rumah.
Selalunya, Hana hanya mampu menatap wajah Najmi semasa suaminya itu tidur.
"Maybe kau cuba slow talk dengan dia? Aku tak nak kau salah menduga".
Suara Aqilah memecah kesunyian antara mereka.
Hana lepas keluhan perlahan.
Memang itu yang ingin dia lakukan, tapi bilakah masanya? "Aku cuba.
Aku pun tak naklah bersyak wasangka dengan dia", balas Hana perlahan.
Aqilah angguk setuju.
Dia juga tidak mahu Hana terlalu berfikiran negatif tentang suaminya.
Meski dia juga sedikit terkesan dengan luahan hati Hana tadi.
Sumber:Internet