. Puntung rokok yang habis dihisap dijentik keluar dari balkoni bilik.
Beberapa percikan api kecil berterbangan ditiup angin dari tingkat sepuluh Hotel Hilton.
Danish Arham membuang pandang ke arah jalan yang sayup-sayup kelihatan.
Beberapa kenderaan masih lagi bertali arus walaupun jarum jam sudah menginjak ke pukul tiga pagi.
Sudah hampir sebulan dia menginap di situ.
Semenjak pertemuan dengan Nina dulu hatinya tidak pernah tenteram.
Seringkali tidurnya terganggu, terganggu dengan bayangan Nina.
Wajah dan bentuk tubuh Nina seringkali mengisi ruangan fikirannya.
Danish Arham menghela nafas.
Rambutnya dilurut kasar.
Tidak tahu kenapa ingatannya kuat terarah pada Nina sejak dia bertemu semula dengan wanita itu.
Terasa kesal kerana dia menolak Nina dahulu.
Dan lebih kesal lagi kerana Nina telah menjadi adik iparnya.
Isteri kepada Daniel Arman.
Danish Arham kemudiannya membuang pandang ke dada langit.
Dia mengimbas semula tentang pertemuan kali pertamanya dengan Nina.
Salamah mengalihkan beberapa pasu milik Datin Rogayah yang ditanam dengan pelbagai jenis orkid.
Pasu itu kemudiannya disusun semula di ruang yang diminta oleh Datin Rogayah sementara Nina membantu ibunya untuk menggembur-gembur tanah yang telah padat di dalam pasu.
Begitulah kebiasaan Nina, bila sahaja cuti semester dia akan datang membantu ibunya di banglo Datin Rogayah dan Datuk Zainudin.
Di tingkat dua banglo itu, disebalik sliding door gelap yang dilitupi langsir tebal berdiri Danish Arham.
Dia sedang leka memerhatikan Nina yang leka membantu Salamah menggembur tanah.
Sekali sekali dia terdengar gelak ketawa Nina apabila dia lihat kedua-dua beranak itu bergurau senda.
Manis wajah Nina ditatap penuh minat.
Disebalik baju kurung cotton itu, Danish Arham membayangkan bentuk tubuh Nina.
Lama dia merenung tingkah manja Nina bergurau senda dengan ibunya.
Saat itu dia tidak dapat membendung keinginannya untuk memiliki Nina.
Dia nekad, suatu hari nanti dia pasti mahukan Nina, mahukan Nina jatuh ke tangannya.
Danish Arham meraup wajahnya sekaligus menerbang pergi segala ingatan lalu.
Kali pertama melihat Nina dia sudah tidak dapat mengawal dirinya.
Rentetan itulah yang membawa kepada peristiwa onar yang pernah dilakukan pada Nina dahulu.
Tidak tahu kenapa, saat itu dia rasa menyesal kerana melepaskan Nina dahulu.
Sepatutnya dia menggalas tanggungjawab dan tidak melarikan diri tetapi pada waktu itu, dia buntu.
Dia hanya fikirkan keseronokan semata-mata.
Bila diberitahu Nina mengandung hasil perbuatan khianatnya, dia bertindak melarikan diri.
Tidak mahu memikirkan perkara yang akan menghadkan kegiatan masa mudanya.
Tidak mahu memikul tanggungjawab pada usianya yang masih muda.
Masa yang sepatutnya dihabiskan untuk berseronok.
Disebabkan itu juga, kini Nina menjadi hak milik Daniel Arman.
Adik kembarnya itu bertindak menjadi kambing hitam demi menjaga nama baik keluarga.
Tetapi itu semua tidak menjadi masalah kepada Danish Arham.
Dia tidak peduli dengan apa yang berlaku pada Daniel Arman.
Yang merunsingkan dirinya kini ialah bagaimana dia ingin mendapatkan semula Nina dari Daniel Arman.
Kala itu, hanya Nina yang difikirkan, perkara-perkara lain dia tolak ke tepi.
Bagaimana untuk dia mendapatkan Nina kembali Danish Arham masuk ke bilik.
Tubuhnya kemudian direbahkan ke tilam empuk.
Dia membuang pandang ke syiling bilik, otaknya ligat memikirkan rencana untuk dia mengambil Nina dari tangan Daniel Arman.
Selama ini dia tidak pernah kalah dengan Daniel Arman.
Selalunya Daniel Arman lah yang terpaksa mengalah dengannya.
Menanggung semua kesalahannya, mengalah dalam banyak perkara.
Memang sudah terbukti Daniel Arman bukan lawannya.
Adik kembarnya itu terlalu baik.
Terlalu naïf.
Danish Arham pasti, suatu hari nanti pasti Nina akan menjadi miliknya.
Jenuh berfikir, akhirnya Daniel Arman mendapat satu idea.
Dia pantas bangun menuju ke meja yang diletakkan telefon bimbitnya tadi.
Jari-jemarinya pantas mendail nombor.
Dia labuhkan semula punggungnya ke birai katil.
Telefonnya dilekap ke telinga dan Danish Arham menunggu sehingga panggilannya bersambut.
Sumber:Internet