. Kedua-dua mata Aleya terbeliak dan dia terus melupakan tugasan mengemas barangnya sebentar tadi.
Rakannya, Nabilah itu terus membacakan sebuah artikel berkaitan khabar angin mengenai Faris Farhan dengan seseorang yang bernama Julia Amir.
"Mereka berdua berkemungkinan sudah bertunang namun tiada kenyataan lanjut tentang hubungan antara dua orang insan yang memiliki nama besar dalam industri pemasaran bioteknologi ini.. Aleya, kau dengar tak tu?" soal Nabilah setelah dia membacakan keratan artikel yang dihidang dalam laman web OhBulan itu.
"Faris dah bertunang?" fikir Aleya, masih terperanjat dengan berita yang disampaikan.
Kebiasaannya, Aleya bukanlah orang yang gemar membaca atau mengambil peduli mengenai gosip-gosip yang berkaitan orang ternama ataupun artis di negara ini.
Namun begitu, dia tidak boleh berhenti membaca keseluruhan artikel mengenai majikannya itu.
Pandangannya terus dilontarkan pada foto tunang Faris yang dispekulasikan itu.
Nabilah terus menoleh ke arah rakannya yang kelihatan sedikit kecewa dan terkejut itu.
"Kau okey ke, Aleya?" soal Nabilah.
Tersentak dengan soalan yang diajukan itu, matanya terus beralih daripada artikel dan tumpuan Aleya sepenuhnya diberikan kepada Nabilah.
Dia dapat melihat wajah rakan baiknya yang kelihatan risau.
Aleya menarik nafas panjang, menafikan rasa sukanya terhadap majikan sendiri.
"Nabilah, aku... tak ada perasaan apa-apalah pada Faris.
Lagipun, aku patutnya fokus pada kerja aku dan bukannya fokus pada bos aku yang handsome tu," balas Aleya.
"Kau patut jumpa dia dan cakap dengan dia," cadang Nabilah.
"Untuk apa? Semua ni khabar angin je kan? Entah-entah, ni semua berita palsu ataupun.. Faris mungkin tak bertunang.
Apapun, lebih baik aku fokus pada mengemas barang-barang aku ni," kata Aleya lalu mendekati bagasinya.
Aleya terus menyambung melipat pakaian dan menyusun barang-barang yang ingin dibawanya ke rumah Faris.
Pada masa yang sama, dia kelihatan agresif dan dia sentiasa berbisik kepada dirinya bahawa dia tidak peduli tentang berita mengenai pertunangan majikannya itu tadi.
"It's okay... It's okay... Aku tak kisah, aku tak kisah..," bisik Aleya kepada dirinya sendiri.
Dia terus memandang beberapa helai pakaiannya yang belum dimasukkan ke dalam bagasi.
"So what kalau dia dah bertunang pun? Aku tak ada masalah dengan hal tu," bisik Aleya lagi.
Namun begitu, dia tahu bahawa kata mulutnya lain dan kata hatinya juga lain.
****** Pada pagi itu juga, Aleya kembali ke tempat kediaman Faris Farhan.
Setelah dia menjejakkan kaki di situ, dia ternampak seorang lelaki pertengahan usia sedang menunggu ketibaannya di lobi.
Setelah Aleya memunculkan diri, lelaki itu melangkah ke arah dirinya seraya tersenyum.
Sumber:Internet