. Sebelum azan subuh, aku sudah bangun dari tidur.
Suasana dingin fajar tidak mampu untuk menghasut aku dari terus dibuai lena.
Selepas bersiap-siap dengan menyarung baju uniform kilang dan mencalit sedikit pelembap bibir dan bedak tipis, aku dengan gigihnya menuruni anak tangga rumah flat yang dijadikan asrama puteri bagi pekerja-pekerja wanita dalam industri ini.
Langkah kaki aku laju seperti biasa walaupun aku tahu kaki ini tak panjang sangat.
Ketika itu, ada beberapa orang gadis kilang sejawat tapi berlainan shif sudah berkeliaran di luar pagar.
Mungkin sedang mencari sarapan barangkali di kedai-kedai makan berdekatan ini.
Sekitar jam 6.
30 pagi, akulah menjadi orang pertama tercongok di hadapan pondok pengawal untuk menunggu ketibaan bas kilang yang mengangkut kami saban hari dari asrama-asrama ke kilang AHC Electronic & Supply (M) Sdn.
Bhd yang berada di salah satu kawasan perindutrian yang terletak di Bandar Baru Bangi.
Sedang aku leka mengerling ke arah jalan yang sepatutnya bas tiba, sebuah kereta Suzuki Swift berwarna putih pula muncul dan berhenti di hadapanku.
Sekilas pandang, sudah aku ketahui siapa gerangannya.
Dewi Citra mengulum senyum kepadaku.
"Ayuh, Yaya.
Tumpang aku aja!" Jerit Dewi dari tempat duduknya.
Aku berbelah bagi antara mahu dengan tidak mahu.
Sebenarnya lebih tidak mahu.
Namun aku tidak tahu apa alasan harus aku berikan kepada hamba Allah ini.
Dewi memanggil aku sekali lagi apabila dia melihat aku tidak berganjak dari tempat berdiri.
Aku sempat merenung wajahnya yang seakan-akan mengharap aku untuk menyertainya.
Setelah beberapa lama berperang dengan perasaan dilema, akhirnya aku mengalah.
Aku menapak mendekati lalu menarik tuil pintu kereta dan duduk di sebelahnya.
Lantas Dewi cuba memeluk tetapi aku cepat-cepat menahannya.
"Kamu ni dari mana Dewi? Satu badan bau alko Tanyaku sambil mengilas pandangan kepada pakaian yang membalut tubuh Dewi.
Dia memakai gaun pendek dengan skirtnya menutup paras paha.
Dia hanya menjawab dengan satu senyuman sahaja.
"Abang Agung ada tanya pasal aku ngak?" Soal Dewi setelah beberapa lama kami berdiam.
Dan soalan Dewi seolah-olah dia minta aku bagi penampar sahaja ke muka gebunya itu.
"Manalah aku tahu.
Diakan teman lelaki kau.
Aku terdiam daripada terus menempelak Dewi.
Jujurnya, aku sudah penat berkelahi dengannya tentang soal ini.
Dah bermacam-macam ayat aku gunakan untuk menegurnya.
Satu pun seperti tidak terkesan.
"Patutnya apa?" Tanya Dewi seolah memaksa aku untuk menyambung pertanyaan aku tadi.
Paksaan itu buatkan aku rasa macam nak tikam sahaja perempuan ini.
Macam mana kau boleh tanya lagi hah perempuan? Kau ni bengap ke apa? Kalau aku diam, maknanya aku tak ada benda nak cakap lagi lah! Aku mendengus sendirian.
"Patutnya kau kena tanyalah dia sendiri.
" Kata aku dengan selepas tenang kembali.
"Haiiih kalau begitu, susah-susah aja aku datang menjemput kamu, kalau gini aja gaya jawaban kamu Yaya.
" Keluh Dewi membuatkan aku terbutang mata.
Bedebah punya perempuan! "Kau jangan sedap mulut Dewi! Aku tak suruh pun kau datang jemput aku! Kau turunkan aku sekarang!" bentak aku, tidak menahan rasa geram.
Dewi tergelak.
"Haha jangan begitu Suraya.
Aku hanya gurau-gurau aja!" Gurau kepala kau! Aku membetulkan kedudukan.
Pagi-pagi lagi dah buat muka aku panas.
Cepat-cepat aku baiki tudung yang aku pakai.
Mata aku dijauhkan dari menancap ke arahnya.
Dari saat ini hingga sampai ke tempat menurunkan penumpang, aku selesa berdiam saja.
Bahkan aku terus berlalu tanpa mengucapkan sepatah apa-apa kata pun kepada Dewi.
Biarkan dia rasa sakit hati aku tu.
Ya, perlakuan aku tadi amat biadap terhadap Dewi.
Tetapi, apa yang dia pernah buat kepada aku dulu, rasanya lebih biadap dan kejam.
Aku tak mampu lagi untuk menyebut tentang itu, kerana parutnya masih ada.
Sumber:Internet