. Aturan kaki pantas melangkah masuk ke lobi utama Hospital Besar Kuala Lumpur.
Sempat aku menangkap suasana hospital ini sangat sibuk dengan pelbagai ragam pelawatnya.
Menghampiri katil yang menempat orang yang aku ingin ketemui di wad 8, aku sudah nampak Nenek tersenyum manis dari jauh.
Dia balas senyum apabila melihat aku akhirnya muncul juga.
Agung juga turut berada di situ.
"Assalamualaikum Nenek.
" Sapaku membuatkan Agung yang tertunduk mengangkat mukanya.
Riak kepenatan dan tidak cukup tidur jelas tergambar pada wajahnya.
Kasihan pula aku lihat keadaan lelaki itu.
Nenek menjawab salamku.
Lemah dan masih tersekat-sekat suaranya.
Aku letak bungkusan makanan di atas meja sambil menjeling ke arah Agung.
"Abang makanlah nasi goreng ni.
" Ajakku dengan suara yang jelas hambar.
Agung hanya mengangguk.
Seraya aku duduk di sebelah Nenek selepas memperbetul keadaannya.
Tanpa menghiraukan Agung lagi yang mengukir senyuman kepadaku.
Aku cuba buat-buat biasa semata-mata kerana Nenek.
Kalau ikutkan hati, tak sanggup aku berdepan dengan Agung.
Sakit hati masih lagi menyelumbar dalam hati.
Sepatah dia tanya, aku jawab sepatah.
Berpatah-patah dia tanya, aku tetap jawab sepatah juga.
Itupun nasib aku jawab.
Kalau tak, jawab dengan suara dalam tekak aje.
Aku membuatkan Agung berasa janggal.
Sudahnya, dia angkat punggung lalu beredar dari situ sebelum menyambar bungkusan nasi goreng yang masih pegun di atas meja katil.
Dalam diam aku mengulum senyuman puas hati.
"Kamu tak ada masalah ke jaga Nenek ni?" tiba-tiba Nenek bersuara.
Walaupun suaranya agak tersemput-semput, namun soalan itu cukup menyentak aku.
"Eh, tak adalah Nenek.
Lagipun saya memang nak jumpa Nenek.
" Tegasku.
Nenek mengalih pandangannya ke arah lain seakan merajuk saja reaksinya.
Ini buatkan aku jadi lemah ni.
Tanpa melengahkan masa, aku duduk di sisi Nenek lalu memegang tangannya.
"Nenek janganlah fikir bukan-bukan.
Nanti sakit Nenek tak pulih.
Tak apalah, sementara saya ada ni, saya boleh tolong Abang Agung jaga Nenek.
" Kataku dengan penuh lembut bagi memenangi semula hati wanita ini.
Nenek tidak mahu terlalu menuruti kata hatinya.
Dia membalas tatapan mata aku lalu berkata yang dia tahu apa yang Agung buat dan katakan kepadaku.
Nenek mahu aku bersabar.
"Maafkanlah dia dan terima dia semula dengan hati terbuka.
" Nenek mengeratkan tanganku.
Mengharapkan sesuatu yang positf dari aku.
Aku terkaku seketika sebelum melemparkan senyuman buat-buat.
Aku rasa itu saja yang mampu aku berikan kepadanya.
Jauh dari hatiku, sungguh aku dah tawar hati dengan Agung.
Selama ini bukan dia tidak tahu apa yang aku rasakan.
Dia sengaja jurangkan aku dengannya semata-mata untuk diberikan ruang kepada Dewi.
Entahlah.
Aku hanya senyum menggantikan jawapan persoalan nenek.
Cukuplah di situ.
Aku tak mahu berjanji apa-apa lagi.
"Doktor kata Nenek boleh discharge bila?" tanya aku sebaik saja Agung muncul kembali.
"Kalau kadar oksigen dia normal, boleh la balik.
" Jawab Agung sambil membuka baju kardigan berwarna beige.
Kemudian dia mencapai baju panas berhud dari sebuah beg untuk dipakai.
Sekarang ni Malaysia masih bercuaca panas, tapi lelaki ini masih lagi selamba berpakaian dua lapis.
Ciri-ciri coolnya tak pernah habis.
"Suraya boleh tengokkan Nenek? Abang perlu balik ke rumah sekejap.
" Aku pandang wajah nenek sekali lagi.
"Tentulah boleh.
Sampai esok pun saya boleh jaga.
Abang Agung baliklah dulu.
Rehat.
Saya tahu abang dah penat ni.
" Kataku dengan mengawal suara.
Bukan nak control ayu, cuma tak mahu Nenek salah sangka.
Sumber:Internet